Presidennya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, pengusaha bas ekspres meletakkan keyakinan tinggi APAD akan membantu mereka dan melaksanakan tugasnya secara lebih efisien.

Katanya, APAD akan memainkan peranan dalam pembangunan  sektor pengangkutan awam darat khususnya berkaitan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan sistem bas.

“Kami sebagai pengusaha bas ekspres mengucapkan ribuan terima kasih kerana peranan SPAD sebelum ini banyak membantu kami untuk meningkatkan mutu  dan kualiti pengangkutan awam darat.

“Kami juga berharap pihak APAD akan berperanan untuk membantu pengusaha bas ekspres dan pengusaha pengangkutan awam darat yang lain supaya kita dapat memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi setaraf dengan pencapaian kita ke arah negara maju sedikit masa lagi,” katanya.

Che Ibrahim berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada 260 penerima zakat di Hentian Gua Musang, semalam.

Program penyampaian zakat berkenaan merupakan tahun keenam diadakan oleh Hentian Gua Musang bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan.

Sebelum ini, Che Ibrahim melalui Pembawa meminta kerajaan mengkaji semula keputusan untuk memansuhkan SPAD seperti yang diumumkan.

Katanya, SPAD sebelum ini telah berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas ekspres melalui penguatkuasaan dan pematuhan kepada syarat-syarat operasi seragam.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pula berkata, langkah mewujudkan APAD  merupakan antara pelan penstrukturan semula suruhanjaya tersebut bagi mengurangkan kos dan memastikan tiada pertindihan tugas dengan jabatan lain terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). - K! ONLINE