Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki berusia 37 tahun itu dihubungi suspek menyamar pegawai mahkamah pada petang semalam.

"Suspek menyamar Pegawai Tadbir Mahkamah Tinggi Kangar, Perlis dan meminta mangsa hadir perbicaraan sebelum talian disambungkan kepada lelaki bernama 'Sarjan Iqbal Hakim'.

"Lelaki menyamar polis itu pula mendakwa mangsa terlibat kes kemalangan jalan raya pada 27 Ogos lalu dan turut disiasat berkaitan kes dadah serta pengubahan wang haram sebanyak RM2.28 juta," katanya.

Mohd. Wazir menambah, talian disambungkan pula kepada 'Sarjan Ramond' yang menawarkan penangguhan waran tangkap dengan membayar RM6,000.

"Mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis selepas memindahkan wang ke dalam nombor akaun yang diberikan suspek," tambahnya menerusi kenyataan hari ini.

Kejadian tersebut dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE