Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Tengku Faiz Kamarul Azhan Tengku Kamarudin, 34, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa dengan niat melakukan bunuh ke atas kanak-kanak perempuan, Sofiea Faqihah Abdul Raqiib yang berusia setahun di rumahnya di Taman Gombak Permai, Gombak di sini, antara pukul 7.30 petang dan 8.05 malam pada 4 Ogos lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Kosmo! Online 10 Ogos lalu melaporkan berang rokok diambil dipercayai menjadi punca mangsa mati didera suami pengasuhnya.

Lebih mengejutkan, laporan bedah siasat dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan
mangsa mengalami cedera parah pada kepala akibat dihentak dengan objek tumpul.

Selain itu, terdapat 39 kesan kecederaan lain ditemui pada tubuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pada mulanya pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an itu mendakwa mangsa terjatuh semasa berdiri atas sofa sebelum membawanya ke klinik swasta berhampiran.

Mangsa bagaimanapun, dikatakan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke klinik dan
disahkan pegawai perubatan klinik berkenaan.

Pemeriksan awal mendapati suspek lelaki mempunyai enam rekod jenayah kes dadah dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah. - K! ONLINE