Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pembangunan bersepadu yang dirancang itu untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi tapak warisan negara itu pada masa hadapan. 

Menurutnya, antara cadangan pembangunan infrastruktur itu melibatkan pembinaan pusat informasi dan pejabat pengurusan, pembesaran dan penyambungan semula Sungai Batu dan memasang bumbung tapak arkeologi baru yang ikonik. 

Menurutnya, cadangan lain pembangunan infrastruktur lain adalah dan laluan pejalan kaki berbumbung dan jenjantas di kompleks arkeologi itu dan ruang pemerhati yang dilengkapi ilustrasi keadaan tapak arkeologi menggunakan teknologi tiga dimensi (3D) hologram serta membina pagar.

"Bagaimanapun pembangunan kemudahan infrastruktur itu akan dibina secara berperingkat-peringkat mengikut kepada peruntukan yang diluluskan," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Arkeologi Sungai Petani, Lembah Bujang di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Datuk Dr. Zainah Ibrahim. - K! ONLINE

Muhammad Bakhtiar memberitahu, kementeriannya telah memohon peruntukan RM13.5 juta bagi membangunkan fasa pertama kompleks tersebut yang melibatkan pembinaan pusat informasi dan pejabat pengurusan.

 Jelasnya, pusat informasi itu akan dilengkapi galeri pameran, pusat sumber, bilik multimedia dan pejabat pengurusan pula disediakan kaunter tiket, pejabat pengurusan, makmal dan depositori artifak.

 "Kerja-kerja pembangunan tersebut akan dimulakan apabila permohonan tersebut diluluskan Unit Perancang Ekonomi (EPU)," katanya. 

Hasil ekskavasi dan kajian yang dijalankan sekumpulan pakar arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) melibatkan 46 tapak dalam di kawasan seluas kira-kira 0.2 kiolometer berjaya membuktikan kepada dunia bahawa tapak Sungai Batu adalah tamadun tertua di Asia Tenggara.

 Kumpulan tersebut telah menemui empat penemuan penting sepanjang penyelidikan dan ekskavasi sejak 2007 lalu iaitu tapak peleburan besi, jeti pelabuhan, pusat pentadbiran dan monumen ritual. K! ONLINE