Pengerusi BN itu berkata, setiap Ahli Parlimen pembangkang diberi ruang untuk berbahas mengikut portfolio masing-masing yang sudah diagihkan sebelum ini.

"Ini telah kami berikan kepada semua Ahli Parlimen dan tentunya sebagaimana yang kita lihat, setiap perbahasan menjurus kepada bidang masing-masing. 

"Ini akan menyebabkan fokus diberikan kepada Ahli Parlimen tertentu untuk bahas dan membangkitkan perkara tertentu," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Jelasnya, setiap Ahli Parlimen juga diberikan kebebasan untuk menyentuh lain-lain perkara di dalam sidang Dewan Rakyat berdasarkan latar belakang mereka. 

"Kita berjanji untuk menjadi pembangkang yang konstruktif dan mempunyai kewibawaan dari segi maklumat, latar belakang dan fakta yang diperolehi," katanya. - Bernama