Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, peruntukan itu akan diberikan pada tahun depan dan jumlahnya bakal ditentukan oleh pihaknya.

"Oleh kerana mereka telah belanjakan hampir semua peruntukan tahun ini, maka tidak ada peruntukan tambahan dan kita akan lihat semula tahun depan. Kita akan beri kerana tanpa peruntukan adalah sukar untuk menjalankan kewajipan terutama bagi wakil rakyat baharu.

"Mereka telah dipilih oleh rakyat dan sebagai ADUN mereka juga ada matlamat untuk berkhidmat di kawasan masing-masing," katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Aminuddin berkata, tiada sekatan peruntukan  kepada pembangkang seperti yang diamalkan sebelum ini kerana ia akan menyusahkan ADUN seperti yang pernah dilaluinya selama dua penggal.

"Saya rasa sendiri apabila tiada peruntukan selama 10 tahun dan saya diketepikan. Tetapi, biarlah saya dan rakan-rakan yang pernah jadi pembangkang tanggung dan ia memang cukup sukar dan kita tidak mahu berdendam," jelasnya. - K! ONLINE