Beliau berkata, perkara itu hasil pemantauan yang dilakukan jabatan berkenaan pada Ahad lepas. 

"JAS akan memanggil pihak sewajarnya berhubung cadangan pembaikan yang perlu dilakukan di kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rosli juga mengesahkan jabatan itu tidak menerima laporan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada pihak berkenaan sebelum kerja penerokaan dilakukan. 

"EIA juga dijadikan sebagai salah satu arahan JAS sebelum mereka boleh meneruskan kerja pembalakan yang berbaki," katanya.

Penerokaan Hutan Merapoh mendapat tentangan penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) kerana dikhuatiri menjejaskan alam sekitar dan kawasan tadahan air di situ.

Pada 30 November lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, kerja pembalakan masih berlaku dan mengarahkan supaya kerja itu dihentikan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pada Isnin lalu, berkata, kerajaan negeri bersedia menghentikan kerja pembalakan dan pembangunan di hutan itu, mengambil kira kepentingannya sebagai kawasan tadahan air. - Bernama