Itu adalah pesanan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti dalam satu perjumpaan tertutup di sini dengan para perwakilan yang akan membahaskan ucapan dasar presiden dan tiga usul utama iaitu ekonomi, agama dan pendidikan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Ahmad Zahid berpesan agar semua jurucakap dan pembahas menggunakan kesempatan dan platform itu menyuarakan isu termasuk masa depan negara.

"UMNO tidak boleh tercabut daripada suara hati dan denyutan nadi rakyat. UMNO harus terus menjadi penyambung kepada lidah perjuangan agama, bangsa dan negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tertutup itu di sini.

Beliau berkata Ahmad Zahid juga berpesan agar usul yang akan dibahaskan nanti dapat mengukuhkan  lagi solidariti dan kekuatan anggota serta pendukung parti dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14. - Bernama