Meskipun kedua-dua akhbar itu akan dinaikkan harga jualannya iaitu sebanyak 50 sen bermula Jumaat ini iaitu Utusan Malaysia RM2 dan Kosmo RM1.50 namun tidak memberikan masalah besar kepada pembaca.

Salah seorang pembaca Kosmo!, Norherma Mohd. Halim, 34, berkata, dia yang mula membaca akhbar itu sejak lebih setahun yang lalu terkejut apabila mendengar dakwaan dua akhbar berbahasa Malalysia itu akan menamatkan penerbitan semalam.

Dia yang juga kakitangan awam di sekitar daerah ini menambah satu kerugian besar kepada pembaca setia kedua-dua akhbar ini sekiranya operasinya ditutup.

"Saya merupakan pembeli dan pembaca setia Kosmo! kerana akhbar ini memaparkan banyak info-info menarik, isi kandungannya yang santai dan sesuai untuk peringkat umur.

"Ruangan yang paling saya suka baca adalah ruangan rencana kerana banyak maklumat diperolehi yang boleh diaplikasikan dalam tugasan harian saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, bagi seorang lagi pembaca akhbar Kosmo!, Nur Shakila Kiban, 31, berkata, dia terus akan menyokong akhbar berbahasa Melayu itu meskipun harganya akan dinaikkan sebanyak 50 sen bermula Jumaat ini.

Katanya, dia tidak kisah untuk berbelanja membeli akhbar ini kerana melaporkan berita yang tepat berbanding media sosial.

"Harga baharu itu masih berpatutan dan relevan sesuai dengan kos pencetakan yang makin meningkat," katanya. - K! ONLINE