Nor Akmal Aznani Johari, 31, berkata, kenaikan harga itu bukan satu perkara yang membebankan untuk dirinya asalkan kandungan yang sedia ada dalam Kosmo! ditambah baik.

“Saya merupakan pembaca setia Kosmo! sejak menuntut di universiti iaitu kira-kira 10 tahun lalu. Pada saya, pengisian berita dan rencana dalam akhbar Kosmo! amat padat selain ia mudah difahami.

“Kenaikan harga sebanyak 50 sen ini masih berpatutan dan saya sebagai pembaca faham kos operasi yang perlu ditanggung oleh syarikat penerbitan lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi masa kini,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai di sebuah kementerian di sini,  Noor Suhaili Kamarul Zaman,35, pula berharap akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! dapat meneruskan operasi meskipun berdepan era digital yang semakin pesat.

Beliau berpendapat, Kosmo! terutamanya mungkin boleh menambah sedikit ruangan pendidikan kanak-kanak melalui sisipan akhbar dalam usaha menarik minat kanak-kanak masa kini untuk membaca.

“Idea ini mampu meluaskan skop pembaca Kosmo! ke pelbagai peringkat usia.

“Terus terang, saya mahu Kosmo! terus relevan terutama dari aspek kandungan beritanya sekali gus meneruskan survival akhbar ini,” katanya. - K! ONLINE