Menteri  Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, 150 buah CCTV pada jarak setiap 10 kilometer telah dipasang di sepanjang lebuh raya oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi tujuan itu.

"Pihak PLUS akan memantau semua CCTV melalui pusat kawalan dan sekiranya ada pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan mereka akan 'zoom in' untuk dapatkan maklumat kenderaan dan seterusnya melaporkannya kepada JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) yang akan mengeluarkan saman,"   katanya dalam sidang media Tinjauan Trafik Lebuh Raya Utara-Selatan Sempena Hari Raya Aidilfitri di Persada PLUS, di sini, hari ini. 

Loke berkata, sejak Ops Bersepadu sempena Hari Raya bermula  7 Jun lepas, sebanyak 83 saman membabitkan penyalahgunaan lorong kecemasan telah dikeluarkan. 

Dalam pada itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan termasuk melalui rakaman kamera kereta ataupun telefon bimbit supaya melaporkannya kepada JPJ untuk tindakan selanjutnya. - Bernama