Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, mangsa, Kassim Mohammad maut di lokasi kejadian, manakala anak lelaki mangsa berusia 17 tahun yang merupakan kelindan treler itu patah tangan dan kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback dalam perjalanan ke Gemencheh hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Kereta yang dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 24 dan 17 tahun itu kemudian bertembung dengan treler dipandu mangsa bersama dua anaknya yang datang dari arah Gemencheh.

"Pemandu treler meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala. Seorang lagi anak lelaki mangsa dalam treler itu berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ramli berkata, pemandu Proton Wira Aeroback turut.mengalami kecederaan ringan, namun penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

Menurut beliau, mayat mangsa yang maut dan mereka yang cedera dalam kemalangan itu di hantar ke Hospital Tampin dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Mohd. Hairizam Mohd. Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kemalangan itu pada pukul 2.22 pagi.

Kata beliau, seramai enam pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh bersama sebuah jentera dikerahkan memberi bantuan sejurus maklumat diterima.

"Kesemua mangsa telah dikeluarkan dari treler itu oleh orang awam semasa kami tiba dan pemandunya disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya. - K! ONLINE