Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, Nordin Kapas, 72, dari Taman Bahagia Court, di sini meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kejadian berlaku apabila teksi yang datang dari Mentakab menuju ke bandar ini telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Mangsa yang dipercayai mengantuk itu hilang kawalan dan teksinya telah bertembung dengan sebuah Proton Preve yang dipandu oleh seorang guru dari Chenor.

"Kedua-dua kenderaan remuk teruk di bahagian hadapan dan pemandu teksi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di perut dan kaki," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

"Pemandu Preve pula cedera parah dan kini menerima rawatan di zon merah hospital yang sama," jelasnya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis turut meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan. - K! ONLINE