Pengerusinya Ismail Abdul Rahman mendakwa kebanyakan pemandu teksi yang telah beroperasi lebih 30m tahun kini berdepan masalah berikutan sumber pendapatan merosot sehingga tidak mampu membayar ansuran pinjaman bulanan dengan bank sejak Grab beroperasi di pulau ini hampir dua tahun.

"Labuan sebuah pulau yang kecil dengan mempunyai kira-kira  200 teksi beroperasi di bandar dan lapangan terbang, dan dengan kehadiran Grab di sini, ia umpama retak menjadi belah, kerana pada kebanyakan masa kami tidak mampu bersaing," katanya kepada Bernama hari ini.

Ismail berkata sebelum Grab beroperasi di sini, kebanyakan pemandu teksi putih-hijau menjana pendapatan antara RM100 ke RM200 sehari.

"Tetapi selepas lebih 800 pemandu  Grab beroperasi di seluruh pulau ini, kami hanya memperoleh pendapatan RM40 hingga RM50 sehari, kadang kala pulang dengan tangan kosong. Pemandu teksi kini kehilangan punca pendapatan kepada pemandu Grab.

"Kebanyakan penduduk di Labuan mempunyai lebih daripada sebuah kereta, keadaan ini telah menyukarkan kami untuk mencari rezeki bagi menyara hidup dan kini dengan adanya pemandu Grab, dengan kebanyakan mereka mempunyai pekerjaan tetap dengan gaji bulanan, telah menjadikan keadaan lebih teruk," katanya.

Ismail berkata dengan kadar bayaran teksi di sini hanya antara RM15 hingga RM36 bagi satu perjalanan, persatuan menggesa kerajaan melarang operasi Grab Malaysia di pulau ini.

Pada Jun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan tidak akan mengharamkan perkhidmatan e-hailing (atau e-taxi) disebalik gesaan beberapa pihak khususnya kumpulan pemandu teksi.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan "padang permainan seimbang" bagi kedua-dua pihak dan bahawa perkhidmatan e-hailing akan dikawal. - Bernama