Beberapa keping gambar dan video mengenai kejadian tersebut tular di media sosial sejak ia dimuat naik sejak semalam. 

Menurut pemandu kedua bas berkenaan, Mohammad Faizal Sh Omar, wanita hamil itu dan suaminya menaiki bas berkenaan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur untuk ke Ipoh.

"Ketika melalui kawasan Ladang Bikam di Sungkai kira-kira pada pukul 5.30 petang, suami wanita tersebut memaklumkan dia mula berasa sakit untuk bersalin. 

"Sebelum itu, saya sedang tidur dan kemudiannya dikejutkan oleh pemandu bas mengenai keadaan wanita itu. Tidak lama kemudian, wanita tersebut didapati telah bersalin di tempat duduk di bahagian belakanh bas," katanya ketika dihubungi sebentar tadi. 

Tambah Mohammad Faizal, pemandu kemudiannya menghubungi ambulans untuk bantuan lanjut. 

"Bas berhenti di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah sementara menunggu ambulans tiba dan bayi tersebut dipangku penumpang bas lain. 

"Beberapa penumpang wanita lain ada membantu ibu semasa proses bersalin. Kejadian ini agak mengejutkan saya yang baru bekerja kira-kira enam bulan sebagai pemandu bas," katanya. 

Sementara itu, pasangan suami isteri berkenaan yang ditemui di wad kanak-kanak Hospital Tapah enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan memaklumkan laporan polis telah dibuat bagi meminta video dan gambar yang dimuat naik di laman sosial tidak terus disebarkan. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis tersebut yang dibuat di Balai Tapah hari ini.

"Laporan polis telah dibuat oleh ibu bapa bayi itu pada pukul 3.30 petang tadi supaya mengambil tindakan agar video dan gambar kejadian itu tidak disebarkan," katanya. - K! ONLINE