Majistret Siti Hafiza Jaafar menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Shahirul Syafiq Shaharin, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dan menggunakan pelbagai lambang, logo, cop dan gelaran yang tidak diiktiraf untuk kegunaan sendiri di sebuah rumah di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pada pukul 11.45 pagi 30 Mac lalu. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1993 yang boleh dihukum denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iran Julieza Maaras manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. 

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan terhadapnya memandangkan dia sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan jenayah selain telah insaf atas perbuatan tersebut. 

Siti Hafiza kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 Mac lalu. - K! ONLINE