Ketua Pegawai AADK Manjung, Sharuddin Abdul Salam berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan sewaktu pihaknya mengadakan pemeriksaan terhadapnya kira-kira pukul 2 petang.

Jelasnya,berdasarkan siasatan, lelaki itu telah ditahan atas kesalahan sama lima bulan lalu namun, merayu supaya diberikan peluang untuk berubah dan berjanji mahu membuang tabiat buruknya itu.

"Suspek diberkas semula apabila kita memberi masa untuknya berubah dalam tempoh tiga bulan sebelum memanggil semula untuk ujian air kencing.

"Bagaimanapun, ujian air kencing yang dijalankan mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Sharuddin, siasatan mendapati, pemandu lori yang masih belum berkahwin itu sudah terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak tujuh tahun lalu.

Ujarnya, suspek kini ditahan mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Katanya, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pagi tadi dan dijatuhi perintah menjalani rawatan pemulihan di pusat pemulihan. - K! ONLINE