Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, Zakaria Ahmad, 62, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, penumpang kereta Perodua Myvi berkenaan, Muhammad Faris Aiman Mohamad, 16, yang merupakan pelajar tingkat empat Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Bayan, Paka, Dungun pula cedera ringan di bahagian mulut.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, Zakaria yang menunggang motosikal berseorangan dikatakan dalam perjalanan ke Kerteh dari rumahnya di Kampung Batu Putih dekat sini.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda EX5 dinaiki mangsa dikatakan dirempuh kereta Perodua Myvi dipandu abang Muhamad Faris yang memasuki persimpangan jalan berkenaan.

"Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa dan motosikalnya tercampak ke dalam belukar di tepi jalan manakala kereta Perodua Myvi berkenaan juga hilang kawalan lalu terbalik di lokasi kejadian," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. - K! ONLINE