Dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 pagi itu, S. Ghanes Kumar, 23, dari Taman Bintang Cheroh, Raub maut dilokasi kejadian selepas dilanggar oleh sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa bersama seorang kelindan memandu lori dari Raub menghala ke Gua Musang sebelum kenderaan berat itu mengalami kerosakan sebaik tiba di lokasi kejadian.

"Mangsa telah memberhentikan lorinya untuk memeriksa kerosakan di bahu jalan sebelah kiri.

"Ketika sedang membuat pemeriksaan, mangsa telah dilanggar oleh sebuah lori yang datang dari arah yang sama," katanya.

Menurut beliau, akibat rempuhan itu, mangsa telah melambung dan meninggal dunia di tempat kejadian namun lori terbabit tidak berhenti dan meneruskan perjalanan.

"Serpihan komponen kenderaan lori yang melanggar mangsa dijumpai dilokasi kejadian dan kita akan gunakan untuk siasatan," ujarnya.

Azli memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat manakala kelindannya tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemeriksaan di bengkel-bengkel berdekatan akan dijalankan bagi mengesan lori terbabit.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan. - K! ONLINE