Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang tersebut, mangsa, Madius Kandurug, 53, disahkan meninggal dunia di halaman tempat kerjanya akibat kecederaan fizikal yang dialami.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Pegawai Kanan II Hamdani Md. Harith, difahamkan, sebelum kejadian lelaki terbabit sedang menggait pokok mangga yang terletak kira-kira satu meter dari tiang elektrik.

“Bagaimanapun, semasa menggait dia terkena renjatan dipercayai berpunca daripada arus kabel dari tiang elektrik berkenaan yang merentasi pokok mangga itu.

“Akibat insiden tersebut hidung dan telinga mangsa berdarah manakala fizikalnya terbakar hampir 80 peratus,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Tambah Hamdani, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang oleh rakan setugasnya yang masuk bekerja pada syif petang.

Seramai lapan anggota dan sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.13 petang.

Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Papar dekat sini untuk tindakan lanjut. - K! ONLINE