Tertuduh, C. Bathu Malai bagaimanapun mengaku tidak salah selepas pertuduhan keatasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Menurut kertas pertuduhan, dia dengan sengaja menghina orang Melayu di laman media sosial Facebook menggunakan nama Darsheini Malai sehingga menyebabkan provokasi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh lelaki berkenaan di sebuah kedai makan di pekan Jementah, Johor pada pukul 5 petang, 29 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya A. Ashwini, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Eric Yeow Kok Heng.

Kok Heng memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan anak guamnya perlu menanggung isteri dan seorang anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - K! ONLINE