Dalam kejadian pukul 3.17 petang itu, Naqib Adli Mokhlas, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat digilis lori terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md. Asri A. Wahab berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda RS150R  dibonceng mangsa keluar dari simpang menghala ke Kuala Selangor dari Bestari Jaya.

"Bagaimanapun, motosikal itu dikatakan telah terlanggar pintu belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza mengakibatkan mangsa tercampak sebelum digilis lori.

"Akibatnya, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penunggang motosikal itu hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Md. Asri menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat.

Jelas beliau, lori yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya itu didapati meninggalkan tempat kejadian dan pemandunya masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Sehubungan itu, pemandu lori terbabit dan saksi kejadian diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Norasyikin Roslan di talian 010-2621 743 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - K! ONLINE