seorang lelaki (depan, kanan) diserang dua suspek yang kini diburu pihak polis.

Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun mengalami kecederaan pada lengan kiri, perut dan badan selain mengalami kesakitan pada kepala.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, ketika kejadian, mangsa sedang memandu kereta jenis Ferrari seorang diri dan insiden itu dipercayai berpunca di­sebabkan mangsa membunyikan hon kereta.

“Sewaktu melalui kawasan kejadian, datang sebuah kereta Mercedes-Benz berwarna hitam dari arah bahu kiri jalan sebelum masuk ke hadapan laluan kereta dipandu mangsa.

“Mangsa kemudian telah membunyikan hon sebelum dua suspek berkenaan keluar daripada kenderaan mereka dan mengarahkan mangsa untuk turut keluar,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Shahurinain, sebaik mangsa keluar daripada keretanya, seorang suspek dipercayai warga tempatan bertindak mengeluarkan pisau lipat lalu menikam beberapa kali pada perut, tangan dan beberapa anggota badan mangsa.

Jelasnya, seorang lagi suspek dipercayai warga India atau Pakistan telah menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali sebelum kedua-duanya melarikan diri.

“Punca kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa membunyikan hon ke arah kenderaan suspek,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dapat menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.