Di hadapan Hakim Azura Alwi, Soo Lian, 40, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa memperdagangkan tujuh warga Bangladesh dan seorang warga India berumur antara 19 dan 31 tahun bagi maksud eksploitasi seks di sebuah premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, Dang Wangi di sini pada pukul 10.40 pagi, 4 Julai lepas.

Di hadapan Hakim Azman Ahmad, lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh melakukan perbuatan sama terhadap tiga lagi wanita warga Bangladesh berumur antara 20 dan 37 tahun bagi tujuan sama pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Azura, Timbalan Pendakwa Raya S. Kirubini tidak menawarkan sebarang jaminan namun jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihaknya mencadangkan jumlah jaminan tinggi memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika tertuduh disabitkan bersalah.

Peguam Tan Kian Peng, yang mewakili Soo memohon jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis selain dia perlu menanggung kedua ibu bapanya.

Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya melapor diri di balai polis terdekat pada minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 15 Ogos untuk sebutan semula kes.

Di hadapan Azman, Tan memohon supaya mahkamah mengguna pakai jaminan sama (RM50,000) bagi ketiga-tiga pertuduhan dihadapi anak guamnya dan permohonan peguam itu dibenarkan serta tarikh sama (15 Ogos) ditetapkan untuk sebutan semula kes. - Bernama