Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, golongan tersebut juga perlu melalui pemeriksaan kesihatan dan latihan PSV dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh berkenaan.

"Sebelum menduduki ujian PSV, mereka perlu menjalani proses pemeriksaan kesihatan dengan pemakluman lanjut seperti proses dan lokasi akan dimaklumkan dalam masa terdekat kepada pemandu berkaitan.

“Mereka kemudiannya hendaklah menjalani latihan digital dalam talian selama enam jam berdasarkan modul ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan melalui Penyelia Perkhidmatan (EHO) tanpa menghadirkan diri ke pusat latihan memandu," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Siew Fook berkata, selepas itu, mereka harus menjalani ujian bertulis PSV yang akan dilaksanakan selama satu jam secara berkelompok di Dewan Serbaguna Kementerian Pengangkutan di sini.

“Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan selepas itu akan memaklumkan keputusan ujian dan mengeluarkan kad selepas lima hari ujian PSV dilaksanakan.

"Kad PSV yang telah dicetak akan diserahkan kepada Penyedia Perkhidmatan (EHO) bagi tujuan edaran kepada pemandu OKU berjaya," katanya.

Siew Fook memberitahu, kadar keseluruhan untuk proses itu adalah berjumlah RM320 seorang namun semuanya kos ditanggung oleh pihak EHO seperti Grab, MyCar dan Ezcab sebagai satu tanggungjawab sosial.

"Kos itu meliputi latihan sebanyak RM190, pendaftaran (RM10), pemeriksaan kesihatan (RM100) dan kad PSV (RM20)," ujarnya.

Katanya, buat masa kini terdapat 367 pemandu e-hailing OKU di negara ini yang berdaftar di bawah EHO masing-masing. - K! ONLINE