Tertuduh, Md. Khairol Anuar Mohamad, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat

Bagaimanapun, mah­kamah menangguhkan hukuman terhadap tertuduh sementara me­nunggu laporan ujian air kencing.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah methamphetamine ke dalam badan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada pukul 7.40 malam, pada 17 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mela­kukan kesalahan itu di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pukul 7.40 malam pada 17 Ogos lalu.

Berikutan itu, Md. Khairol didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5, 000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amirul Asyraf Abdul Rasid menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 terhadap tertuduh sementara menunggu laporan kimia berkaitan dadah itu.

Bagaimanapun, isteri tertuduh yang merupakan penjamin memohon mahkamah mengurangkan jaminan rendah dengan alasan suaminya mempunyai tanggungan keluarga.

“Saya sebagai isteri yang akan menjamin suami (tertuduh) saya. Mohon jumlah jaminan dikurangkan kerana saya tidak be­kerja selain turut mempunyai penyakit darah rendah dan jantung,” katanya.

Dalam prosiding semalam tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Noorasyikin membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 24 September ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Tertuduh membayar jaminan itu.

Kosmo! 18 Ogos lalu melaporkan, pemandu bas RapidKL yang melanggar lima buah kenderaan dari Datuk Keramat menghala ke Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) didapati positif dadah jenis syabu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim yang mendapati lelaki berkenaan memandu ketika berada di bawah pengaruh dadah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam 16 Ogos lalu itu , sekurang-kurangnya lima buah kereta rosak dilanggar bas RapidKL berkenaan.