Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Mohamad Ridhwan Abu Bakar, 22, difahamkan terjatuh ketika sedang mencantat sotong di kawasan berkenaan.

Pengarah Maritim negeri, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd. Omar berkata, pihaknya melalui Pusat Operasi Maritim negeri menerima panggilan melalui MERS 999 berhubung kejadian tersebut.

"Sebaik sahaja menerima aduan berkenaan, operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan. Menurut rakan, Mohd. Zamree Jamaluddin mangsa dikatakan terjatuh dan cuba diselamatkan namun gagal serta hilang dari pandangan.

"KM Tatau yang sedang beroperasi telah diarahkan ke lokasi kejadian. Selain itu, bantuan daripada Cawangan Operasi Udara Maritim juga menghantar sebuah pesawat udara bagi membuat pencarian sekitar lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Tambahnya, sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan pencarian masih diteruskan. - K! ONLINE