Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 malam itu, juruelektrik tersebut, Shamsul Annuar Abdullah, 45, yang merupakan kaki pancing pada awalnya ke ban Kampung Nelayan itu bagi tujuan mengajar anak lelakinya, Shahris Zakuan, 15, memancing ikan siakap.

“Saya mengajar anak saya memancing ikan siakap menggunakan umpan udang hidup dan pelampung berlampu.

“Sekitar 10 minit melabuhkan umpan, dia melihat jorannya mula direntap ikan dan saya mengarahkannya untuk bersedia menarik tali pancing,” katanya ketika ditemui pemberita di sini sebentar tadi.

Tambah Shamsul Anuar, dia memberitahu anaknya supaya membiarkan beberapa saat sebelum menarik tali pancing.

“Sebaik menarik tali, anak saya menjelaskan ia mungkin ikan yang besar kerana kuat melawan.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus mengambil alih tempatnya dan bertarung selama sejam sehingga beberapa kali ditarik ke dalam air untuk menewaskan ikan kertang gergasi tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, perasaannya ketika itu amat gementar kerana khuatir objek yang dipancing itu merupakan seekor buaya.

“Dibantu seorang rakan, kami berjaya menaikkan ikan tersebut ke darat.

“Kejayaan kami itu bertambah manis apabila ikan tersebut dibeli seorang peraih dengan harga RM1,500,” katanya. - K! ONLINE