Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu diputuskan selepas pihak kementerian mengadakan pertemuan dengan pemain industri simen semalam.

Jelasnya, melalui pertemuan itu, mereka perlu mengadakan rundingan terlebih dahulu dengan pihak KPDNHEP ekoran simen merupakan barang kawalan di negara ini.

“Mereka ada menyatakan beberapa alasan untuk menaikkan harga simen ekoran peningkatan kos dan terdapat 90 peratus barangan yang digunakan terpaksa diimport seperti clinker (batu hangus) dan hanya 10 peratus barang iaitu batu kapur dari dalam negara.

“Bagaimanapun, mereka bersetuju untuk tidak menaikkan harga simen dan sekiranya pemain industri berbuat demikian, mereka melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Garis Panduan Pematuhan Standard Filem Penghadang Haba Kenderaan di sini hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada 19 buah kilang pengeluar simen seluruh negara dengan segera.

Notis tersebut dikeluarkan untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat-syarikat yang terlibat berkenaan punca kenaikan harga simen.

Ia harus dijawab dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dikeluarkan dan kegagalan menjawab dalam tempoh masa tersebut akan mengundang kepada tindakan undang-undang di bawah akta yang sama.

Dalam pada itu, menurut Saifuddin, menerusi pertemuan dengan pemain industri simen, pihaknya juga telah menerangkan bahawa pihak kerajaan menyasarkan untuk membina satu juta rumah mampu milik.

“Sekiranya bahan utama untuk membuat rumah naik, ia sudah pasti memberi kesan kepada pembinaan rumah mampu milik. Jadi, mereka (pemain industri simen) perlu mendengar nasihat kita.

“Pada akhir perbincangan, mereka bersetuju untuk tidak menaikkan harga simen,” katanya - K!ONLINE