Anggota kumpulan rock yang terkenal era 80-an itu ditemui tidak sedarkan diri pada pukul 7.30 pagi oleh rakannya yang lain di bilik rumah inap desa didiami mereka.

Menurut pemain drum Samudera, Mohd. Azhar Ropie atau A'ai, 48, mereka (kumpulan Samudera) datang ke Batu Pahat memenuhi undangan bagi mengadakan persembahan di Jom Gegar Parit Tengah, Rengit malam tadi (malam semalam).

"Selepas selesai membuat persembahan, kami semua balik ke rumah homestay (inap desa) dan berbual sehingga pukul 3 pagi sebelum kami tidur.

"Pagi ini dalam pukul 7.30 pagi, kami gerak balik ke Kuala Lumpur, kami kejutkan dia (Jimmy) namun dia tidak bangun-bangun sebelum kami menghubungi talian kecemasan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

A'ai berkata, sebelum kejadian, mereka sempat bergurau dan Jimmy tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Namun katanya, selesai mengadakan persembahan, Jimmy tidak mahu bergambar dengan peminat kerana kemungkinan dia sudah kepenatan.

Tambah A'ai, jenazah Jimmy akan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dekat sini untuk dibedah siasat.

"Kami dimaklumkan pasukan polis, Jimmy meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

"Selesai proses di hospital, ahli keluarga akan membawa jenazahnya pulang ke kampung halaman di Yan, Kedah untuk dikebumikan di sana," katanya. - K! ONLINE