Mayat mangsa, Abdul Samat Ismail, 56, dijumpai salah seorang rakan berbasikalnya pada pukul 1.50 tengah hari ketika melakukan pencarian di sekitar lokasi terakhir mangsa hilang.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Tarmizi Shaari berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang bersama basikalnya di tepi Jalan Bemban di sini kira-kira 13 kilometer dari garisan penamat perlumbaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng. 

"Siasatan awal mendapati tiada mangsa dipercayai mahu membuang air kecil di kawasan tersebut sebelum jatuh ke dalam longkang kecil di tepi jalan. 

"Siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk proses bedah siasat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi. 

Tambah Ahmad Tarmizi, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil bedah siasat. 

Kosmo! kelmarin melaporkan, seorang pelumba basikal warga Singapura dilaporkan hilang di Jalan Siputeh – Batu Hampar menuju ke RTC Gopeng dekat sini ketika menyertai perlumbaan menunggang basikal Perak Century Ride 2018 Ahad lalu.

Kehilangan mangsa disedari ahli pasukannya kira-kira pada pukul 6 petang selepas dia tidak muncul ke garisan penamat. - K! ONLINE