Menurut Eksekutif Pengurusan Jenama Kosmo!, Hazwan Hairul, penganjuran kuiz tersebut menunjukkan keprihatinan Kosmo! dan ASNB terhadap kepentingan bagi menyedarkan orang ramai untuk membuat keputusan kewa­ngan yang bijak.

“Di samping itu, ia diharap dapat meningkatkan lagi li­terasi kewangan serta memupuk tabiat dan sikap yang bertanggungjawab dalam pe­ngurusan kewa­ngan.

“Bersesuaian dengan konsep bulan kemerdekaan yang diraikan khususnya menerusi sambu­tan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia menjelang 16 September ini, minda rakyat di negara ini perlulah dididik ke arah memerdekakan keputusan kewa­ngan yang bakal dibuat, agar tidak dibelenggu masalah kewangan pada masa hadapan,” ujarnya.

Tambah Hazwan, ha­diah pertama bagi kategori umum adalah dalam bentuk unit ama­nah RM7,000, kedua RM5,000 dan ketiga RM3,000.

“Bagi pemenang tempat keempat hingga 18 pula ma­sing-masing akan menerima unit amanah bernilai RM2,000, manakala pemenang tempat ke-19 hingga 43 masing-masing berpeluang menang unit amanah RM1,000.

“Seterusnya, pemenang tempat ke-44 hingga 73 masing-masing layak memenangi unit amanah berjumlah RM500,” katanya yang memberitahu, kate­gori umum itu terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Tambah Hazwan, orang ramai boleh menyertai kuiz bagi kategori umum ini yang berlangsung dari 9 hingga 19 September ini.

Menyentuh tentang cara penyertaan, ujarnya, peserta kuiz hanya perlu menjawab empat soalan bagi setiap kategori.

“Soalan yang sama akan diterbitkan untuk tempoh empat hari berturut-turut dalam akhbar Kosmo! bagi pembaca di Semenanjung Malaysia.

“Terdapat artikel berbeza akan diterbitkan untuk tempoh empat hari berkenaan yang me­ngandungi jawapan untuk setiap soalan yang akan diterbitkan,” jelasnya.

Menurut Hazwan, kaedah penyertaan memerlukan peserta menjawab soalan dan menghantar keratan jawapan kepada Kos­mo! selaku penganjur bersama dalam tempoh ditetapkan.

“Bagi mendapatkan klu untuk jawapan kuiz tersebut, peserta boleh merujuk kepada video dan artikel yang diterbitkan ASNB di laman web ASNB.

“Bahan rujukan tambahan boleh diperolehi menerusi video e-seminar Pelaburan 360 Hari yang dimuatnaik di YouTube ASNB dan instagram Kosmo! Online atau Facebook ASNB,” ujarnya.

Kuiz ini terbuka kepada warga Malaysia kecuali kakitangan Kumpulan PNB dan Utusan.

Dalam pada itu, Hazwan juga menyeru pelajar-pelajar dan sekolah-sekolah di seluruh negara supaya dapat menghantar borang penyertaan Kuiz Pelaburan PNB bagi kategori sekolah menengah dengan kadar segera.

“Sejak dibuka pada 4 September lalu, Kuiz Pelaburan PNB bagi kategori sekolah menengah yang terbuka kepada pelajar sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga 5 ini mendapat sambutan yang memberangsangkan.

“Saya juga berharap pelajar-pelajar dan sekolah-sekolah yang belum menghantar borang penyertaan yang lengkap de­ngan jawapan dan slogan agar segera berbuat demikian, memandangkan tarikh tutupnya adalah pada 13 September ini.

Kuiz Pelaburan PNB bagi kate­gori menyediakan hadiah tempat pertama berupa unit amanah berjumlah RM5,000, tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM2,500.

Pemenang tempat ke-4 hingga 10 berpeluang memenangi hadiah unit amanah RM1,000, manakala pemenang tempat ke-11 hingga 30 masing-masing la­yak menang unit amanah RM500.

Selain itu, Hazwan berkata, kategori sekolah menengah turut menawarkan hadiah khusus buat sekolah berdasarkan penyer­taan tertinggi.

“Pemenang tempat pertama akan memenangi hadiah berupa barangan elektrik bernilai RM5,000, tempat ke­dua RM4,000 dan tempat ketiga RM3,000.

“Seterusnya pemenang tempat keempat hingga sepuluh ma­sing-masing akan menerima barangan elektrik bernilai RM2,000,” jelasnya yang memberi­tahu, jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan bagi kategori sekolah menengah mencecah RM53,000.