Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pembayaran tersebut perlu dibuat di kaunter Bank Muamalat atau melalui perbankan internet JomPAY bagi melayakkan mereka memenangi cabutan tersebut. 

Katanya, cabutan bertuah ini hanya terhad kepada lapan orang sahaja. 

"MBSA sedang melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun Siri 1/2018 sebanyak 50 peratus di sepanjang bulan Ramadan untuk memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun kepada pihak MBSA. 

"Pelaksanaan kempen pengurangan kompaun ini bermula 17 Mei hingga 14 Jun ini dengan menawarkan sehingga separuh pengurangan daripada bayaran sebenar kompaun yang dikenakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahrin berkata, pihak MBSA juga turut memberikan pengurangan kompaun kepada RM30 bagi kompaun di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA. 

Jelasnya, pihaknya juga memberi pengurangan kompaun bagi lain-lain jenis kompaun yang layak iaitu di bawah Undang-Undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-Undang Kecil Taman (MBSA) 2005 dan lain-lain.

"Orang ramai adalah dinasihatkan supaya menyegerakan bayaran kompaun tertunggak sebelum tindakan lebih tegas akan diambil ke atas OKK antaranya tindakan mahkamah atau sekatan urusniaga di kaunter-kaunter MBSA,"katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung pembayaran kompaun, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5522 2882 atau 03-5510 5133 sambungan 1477, 1656, 1657 dan 1658 ataupun layari laman sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my. - K! ONLINE