Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai sebuah kementerian yang mengawal selia pelabuhan di negara ini, pihaknya tidak mahu pelabuhan negara ini dijadikan tempat pelupusan sampah.

Jelasnya, Menteri Tenaga, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin telah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet pagi tadi.

“Beliau akan mengadakan satu mesyuarat bersama semua agensi yang terbabit bagi mengkaji semula pelbagai prosedur termasuk pengendalian kargo.

“Kementerian Pengangkutan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kerana perkara ini membabitkan prosedur dan peraturan pelbagai agensi termasuk MESTECC,” katanya pada akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas isu kegiatan penyeludupan masuk sisa plastik tercemar ke negara ini melalui pelabuhan utama negara meskipun kerajaan sudah mengharamkan kemasukan sisa buangan itu sejak tahun lalu.

Akhbar tempatan semalam memberitahu, kegiatan itu terbongkar apabila MESSTECC menemui 24 kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang yang mengandungi sisa plastik tercemar yang tidak boleh dikitar semula.

Mengulas lanjut, ujarnya, terdapat keperluan untuk mengkaji semula prosedur kemasukan kargo ke pelabuhan bagi mengelakkan kejadian itu berulang kembali.

Menurut Siew Fook, pihak kementerian tidak boleh halang kapal untuk masuk ke pelabuhan kerana tidak semua kontena membawa muatan yang salah.

“Kita akan kaji semula prosedur bagi memastikan kargo yang dibawa masuk ke negara ini adalah mematuhi undang-undang dan dibenarkan. 

“Selain itu, pihak kementerian juga akan bekerjasama dengan agensi perkapalan dan operator pelabuhan untuk kaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama berkaitan kargo yang keluar dan masuk di pelabuhan ini," katanya. - K! ONLINE