Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, di satu sudut Pas melihat pelantikan itu sepatutnya melibatkan mereka yang mempunyai kepakaran profesional dan kedudukan paling kanan dalam penjawatan berkenaan.

"Dalam perjawatan ini sepatutnya ada jawatan di bawah yang akan naik seperti timbalan atau lain-lain.

"Di sini apa yang kita lihat individu luar dibawa masuk. Sebagai ahli politik kita lihat sesuatu jawatan itu perlu dilantik daripada kalangan orang yang profesional (dalam bidang itu) dan timbul persoalan adakah beliau (Latheefa) profesional dalam bidang itu seperti pegawai kanan SPRM yang lain," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri di rumahnya di sini hari ini.

Tambahnya, secara peribadi beliau menganggap Latheefa tiada pengalaman di dalam SPRM namun menyerahkannya kepada kebijaksanaan perdana menteri atas pelantikan berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataannya berkata, Pas mengalu-alukan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Jelasnya, Pas yakin Latheefa adalah seorang yang berkelayakan dan berperwatakan sesuai untuk menyandang jawatan tersebut, lebih-lebih lagi beliau tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti politik.

Namun begitu, Takiyuddin berkata, Latheefa perlu membuktikan dengan lebih jelas bahawa beliau boleh melaksanakan tugas 'tanpa takut atau memihak' demi memerangi gejala rasuah di semua peringkat. - Bernama