Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Datuk Rozlan Mohamed berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang arahan untuk menutup pelantar terbuka berkenaan ekoran keadaan jerebu yang masih terkawal.

"Keadaan jerebu di Kuala Lumpur dilaporkan masih terkawal dan kami masih membuka pelantar terbuka kepada pelawat. Jika diberi arahan ditutup kerana jerebu yang tidak terkawal, kita terpaksa menutup pelantar berkenaan kepada para pelawat.

"Setakat ini, pihak kami belum menerima sebarang arahan untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah sempena acara KL Tower International Towerthon Challenge 2018 di sini hari ini.

Rozlan berkata, arahan untuk menutup pelantar terbuka Menara Kuala Lumpur pernah dikeluarkan ekoran keadaan cuaca buruk dan tidak selamat untuk pelawat.

Dalam pada itu, Rozlan berkata, Menara Kuala Lumpur memberi diskaun sebanyak 50 peratus kepada warganegara Malaysia sempena cuti sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan.

"Sempena sambutan Aidil Adha kita membuka dan memberi diskaun 50 peratus kepada warga negara Malaysia untuk berkunjung ke Menara Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan kedua.

"Rebutlah peluang keemasan ini sebabkan kalau harga sebenar RM71 kerana diskaun 50 peratus ini adalah berbaloi. Saya harap rakyat Malaysia rebutlah peluang menaiki ke puncak Menara Kuala Lumpur serta melawat tempat-tempat menarik seperti Mini Zoo, Rumah Terbalik dan Blue Coral," katanya. - Bernama