Pekerja sebuah restoran, Siti Hidayah Salamun, 36, berkata, sehingga tengah hari ini semua pelanggan yang mengunjungi restoran itu dapat mematuhi larangan tersebut dan menerima teguran dengan terbuka.

"Ada segelintir pelanggan yang mungkin perokok tegar kelihatan teragak-agak untuk merokok dan apabila diingatkan tentang larangan merokok di dalam kedai mereka dapat menerimanya dengan terbuka," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Larangan merokok yang dikuatkuasakan tengah malam tadi itu turut mendapat reaksi positif daripada pelanggan lain terutama  wanita hamil dan ibu bapa yang membawa anak-anak ke restoran berkenaan.

Pelanggan, Amira Wahab, 38, berkata, larangan merokok di premis makanan memberi keselesaan kepada anak-anak dan wanita hamil sepertinya.

"Penguatkuasaan larangan merokok adalah langkah yang sangat baik bagi mewujudkan persekitaran tempat makan lebih bersih dan selesa sekali gus mengelakkan terdedah kepada asap rokok yang berbahaya," katanya.

Sementara itu, seorang perokok yang mahu dikenali sebagai Abdullah, 52, berkata, larangan merokok di premis makanan tidak menjadi masalah kepadanya kerana masih boleh merokok di kawasan lain.

Malah, katanya, penguatkuasaan baharu itu mungkin sedikit sebanyak dapat mendorong perokok sepertinya untuk menghentikan tabiat berkenaan.

"Cuma mungkin denda bagi kesalahan merokok itu boleh dikaji semula dan dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

Larangan itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun bagi mereka yang didapati melanggar Peraturan 11, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008, manakala Peraturan 12 pula memperuntukkan semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok, pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih setahun. - Bernama