Dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu, mangsa berusia 67 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, mangsa dilanggar kereta yang dipandu rakyat tempatan dari arah Luyang menuju ke One Borneo di sini.

"Mangsa mengalami kecederaan pada kaki kiri dan parah pada bahagian kepala. Mangsa segera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Chandra berkata, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu gagal mengelak mangsa yang secara tiba-tiba melintas jalan.

"Kami memohon orang awam yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu melaporkan perkara tersebut ke balai polis berdekatan," katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Chong Chee Wah di talian 016-3032030.

Kes disiasat mengikut Sekyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE