"Sejak tiga tahun lepas, pembangkang telah mempolitikkan isu perniagaan ini untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik. Malang bagi mereka, rancangan rasionalisasi dalam jagaan saya berjaya, " katanya.

Dalam temu bual dengan Martin Soong dan Oriel Morrison dari Street Signs Asia CNBC Asia hari ini, Arul Kanda berkata syarikat itu meneruskan penglibatan media kerana ia benar-benar telus dan sentiasa secara terang-terangan menjelaskan kepada masyarakat mengenai isu-isu pelaburan kerana ia mempunyai bon yang didagangkan secara umum berjumlah AS$7.75 bilion (RM30.3305 bilion) di pasaran.

"1MDB memulakan pelan rasionalisasi pada 2016 untuk menjana keuntungan ke atas aset syarikat dari semasa ke semasa dan memenuhi obligasi hutangnya. Sehingga kini, ia belum mengingkari kewajipan pembayaran balik hutangnya. Kami juga menjual aset dan memindahkan pemilikan aset kepada MoF (Kementerian Kewangan), supaya ia dapat dikembangkan secara bebas daripada 1MDB.

"Sebagai contoh, TRX (Tun Razak Exchange) berjaya menarik HSBC sebagai penyewa utama dan menandatangani perjanjian bagi Prudential Insurance, manakala 1MDB menjalin usaha sama dengan Land Lease untuk bersama-sama membangunkan 17 ekar (6.88 hektar) tanah," kata Arul Kanda.

Beliau berkata, komuniti perniagaan dan pelaburan antarabangsa sudah melihat melepasi isu-isu lama dan berpuas hati terhadap ketelusan dan keterbukaan syarikat dan kini komited untuk melabur dalam projek-projek yang berasal dari 1MDB.

"Syarikat itu tidak mempunyai masalah kewangan dan memenuhi semua tanggungjawab hutang kami secara penuh dan tepat pada waktunya dan kami menjangkakan dapat melakukannya sehingga sampai tempoh matang hutang akhir yang harus dibayar," katanya.

Arul Kanda juga menegaskan bahawa 1MDB mempunyai aset hampir AS$11 bilion (RM42.8838 bilion) dan hutang sebanyak AS$ 7.75 bilion (RM30.3305 bilion), sambil menambah aliran tunai daripada pelupusan dan pemindahan aset akan digunakan untuk melangsaikan hutangnya dan pada masa ini syarikat itu yakin terhadap keupayaannya untuk memenuhi semua kewajipan tersebut.

Mengenai tindakan pembangkang yang menggesa siasatan berterusan dilakukan ke atas 1MDB, Arul Kanda berkata, Bank Negara Malaysia telah menyelesaikan siasatannya dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara yang terdiri daripada 14 orang ahli termasuk lima anggota pembangkang telah mengemukakan laporannya pada April 2016 berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.

"Tiada dakwaan jenayah atau sivil dibuat. 1MDB menyatakan bahawa ia bukan pihak kepada sebarang siasatan undang-undang yang sedang dijalankan dan bukan subjek kepada sebarang  siasatan," katanya. - Bernama