Kementerian Wilayah Persekutuan berkata, ketika ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menyiapkan Pelan Induk Pejalan Kaki dan Basikal Kuala Lumpur bagi menggalakkan orang awam berjalan kaki dan berbasikal di ibu kota selain mengatasi kesesakan lalu lintas dan mengurangkan pelepasan karbon di Kuala Lumpur.

"Skop kajian penyediaan Pelan Induk Pejalan Kaki dan Basikal ini merangkumi aspek fizikal dan non fizikal.

"Aspek fizikal bermaksud kajian perancangan guna tanah, pelan rangkaian penghubung dan penyediaan kemudahan infrastruktur. Aspek non fizikal pula bermaksud menyediakan cadangan program kesedaran, keselamatan, penguatkuasaan dan program penglibatan komuniti," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis hari ini.

Jawapan bertulis itu bagi menjawab soalan Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (AMANAH-Kuala Krai) yang ingin tahu langkah-langkah kementerian untuk menyediakan laluan berbasikal di kawasan DBKL yang selamat dan berkesan kepada pengguna.

DBKL akan memastikan pelaksanaan  lorong basikal mencapai tahap keselamatan yang tertinggi selaras dengan undang-undang negara dan garis paduan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. - Bernama