Beliau yang masih menerima rawatan di hospital tersebut bagaimanapun akan dibenarkan pulang pada Sabtu ini sebelum perlu ke Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya pada 12 September depan untuk melakukan proses PET-CT Scan. 

“Alhamdulillah keadaan saya baik-baik sahaja. Sebenarnya sebelum ini saya hanya ada penyakit darah tinggi dan kolesterol tetapi tidak sangka tiba-tiba disahkan menghidap kanser ini pada tahap empat. 

“Menurut doktor, kanser yang menyerang bahagian pencernaan turut merebak ke bahagian lain seperti perut, paru-paru dan tulang rusuk kiri. Sebab itulah saya diminta merujuk ke HSB,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. 

Bagaimanapun, keputusan rawatan seterusnya sama ada beliau perlu menjalani proses kemoterapi atau pembedahan hanya akan diketahui selepas proses PET-CT Scan tersebut selesai. 

“Selepas menjalani PET-CT Scan nanti, saya perlu merujuk semula kepada pihak HSB kerana hanya di sini ada pakar kanser esofagus. Selepas itu, barulah mereka yang putuskan apa yang akan berlaku mengikut hasil keputusan tersebut,” katanya. 

Beliau yang sudah dua tahun tidak berlakon berbesar hati sekiranya ada mana-mana pihak ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban. 

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun bank Maybank Zainal Ariffin Abd. Hamid (151445182071) atau Siti Hawa (151445183664). - K! ONLINE