Menerusi entri Instastorynya, Nina, 27, berkongsi beberapa keping gambar kereta miliknya yang remuk teruk pada bahagian belakang.

Malah, berita tersebut turut dikongsikan pelakon Amyza Aznan yang berlakon bersama Nina dalam drama Setelah Cinta Itu Pergi di Instagramnya. 

Akibat kemalangan tersebut, pelakon drama Andainya Takdir itu turut mengalami koyakan pada bahagian bibir serta retak tulang belakang. 

“Terima kasih untuk semua doa kalian. Saya okey, Insya-Allah. 

“Cuma mengalami koyak pada bibir dan retak tulang belakang sehingga susah untuk bergerak. Insya-Allah akan dibuka dalam masa seminggu,” katanya dalam satu pesanan ringkas kepada rakan pelakon lain yang dikongsikan Amyza. 

Pelakon itu juga menganggap kejadian yang berlaku tersebut sebagai satu ujian buat dirinya. 

“Besarnya dugaan saya kali ini. Dalam beberapa bulan ini, banyak betul dugaan saya lalui. Insya-Allah, ada hikmah dan ganjarannya,” tulisnya. 

Bagaimanapun, Nina akan pulang ke negara halamannya Brunei untuk berehat seketika selain mendapatkan rawatan lanjut di sana. - K! ONLINE