Kemenangan Nadira Asmat, 21, mengatasi pelbagai cabaran dalam pertandingan itu melayakkannya membawa pulang kereta Nissan Almera baharu.

Menurut pelajar semesta dua jurusan kejuruteraan perisian itu berkata, dia tidak menyangka sama sekali akan memenang pertandingan itu sekali gus membawa pulang hadiah hari raya cukup bermakna dalam hidupnya.

"Saya tidak berharap apa-apa pun dalam pertandingan ini, saya dipilih 15 peserta secara rawak selepas menonton tayang filem di GSC di sini.

"Jadi tidak sangka pula saya boleh sampai ke peringkat akhir selepas melalui beberapa cabaran dan berkat doa kedua-dua ibu bapa saya mungkin inilah rezeki buat kami sekeluarga," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampai hadiah di GSC Paradigm Mall di sini semalam.

Selain membawa pulang kereta Nissan Almera, Nadira turut memenangi hadiah barang kemas Pandora bernilai RM1,500 serta tiket menonton wayang dan popcorn (bertih jagung) kombo selama enam bulan.

Tempat kedua pertandingan itu dimenangi ejen hartanah, Too Wai Kit, 31, manakala tempat ketiga dimenangi eksekutif pemasaran, Lena Tan Soh Ping, 25.

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah berupa telefon pintar serta baucar tiket menonton wayang dan popcorn kombo bernilai RM700. - K! ONLINE