Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus (gambar kecil) berkata, saringan itu akan diadakan serta-merta bagi mengelakkan penyakit itu berjangkit.

Katanya, dua pelajar perempuan yang sebelum ini dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) ekoran penyakit tersebut telah dibenarkan pulang ke universiti untuk meneruskan pengajian mereka.

“Bagaimanapun, tahap kesihatan kedua-dua pelajar prasiswazah rakyat tempatan berusia 20-an itu kini dipantau Pusat Kesihatan UTM.

“Kami akan memastikan pelajar berkenaan diberi ubat dan rawatan selain dikehendaki membuat pemeriksaan berkala untuk menilai perkembangan semasa mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, UTM akan mengadakan saringan serta-merta terhadap pelajar yang berhubung secara rapat dengan pesakit terutama di fakulti dan rakan sebilik.

Menurut Durrishah, pihak universiti juga mengambil langkah proaktif dengan membuat saringan terhadap semua pelajar agar mereka tidak menghidap penyakit yang boleh berjangkit.

“Ibu bapa pelajar UTM tidak perlu bimbang kerana pesakit tibi akan sembuh dengan mengambil ubat secara berterusan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pelajar yang mengalami batuk berkahak lebih dua minggu dan demam terutama pada sebelah malam dinasihatkan membuat pemeriksaan kesihatan.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat dilaporkan berkata, Jabatan Kesihatan negeri akan menjalankan ujian saringan penyakit tibi di UTM minggu depan susulan dua pelajar dikesan menghidap penyakit berkenaan.

Katanya, ujian saringan akan dibuat di sebuah kelas pelajar berkenaan serta dua asrama iaitu Kolej Tun Fatimah dan Kolej Perdana.

Tibi merupakan penyakit akibat jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara apabila pesakit batuk atau bersin.