Pengakuan itu dibuat Muhammad Hafizi Mat Jusoh, 19, selepas pertuduhan disebut semula di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Sebelum ini, tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 5 November lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumah itu pada 6.05 petang pada 10 Oktober 2017 mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan.

Hakim Ahmad Bazli menetapkan 11 Januari 2018 untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein.

Sementara itu, tertuduh juga bersama dua rakannya iaitu seorang buruh, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 25, dan seorang bekas tentera Mahadi Ibrahim, 34, berhadapan tuduhan berkaitan pembabitan dalam aktiviti militan bagaimana pun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Pada 5 November lepas, Muhammad Hafizi, menghadapi empat tuduhan memberikan latihan militan, memapar dan memiliki gambar, video serta naskhah dan menghadiri latihan persediaan suatu perbuatan pengganas bermula dari 23 September hingga 10 Oktober lepas.

Sementara itu, Ahmad Azmi dan Mahadi pula didakwa menerima latihan keganasan daripada Muhammad Hafizi dan turut memiliki  gambar, video serta naskhah dan menghadiri latihan persediaan suatu perbuatan pengganas pada tempoh sama.

Hakim Ahmad Bazli menetapkan 11 Januari 2018 untuk sebutan semula bagi serahan laporan pakar berkaitan kes berkenaan. - Bernama