Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nordin Ahmad berkata, kerajaan Pakatan Harapan telah memberi jaminan akan terus memperuntukkan bantuan itu kepada para pelajar.

“Selain Mara, terdapat beberapa badan lain yang memberi penajaan kepada pelajar KPTM di 9 kampusnya di seluruh negara. Pembiayaan tidak akan terjejas, cuma tahun lepas lambat disalurkan.

“Jika pembiayaan lambat kita tidak menekan pelajar untuk membayar tetapi memberi kelonggaran kepada mereka sebab kita tahu masalah pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Pegawai Eksekutif KPTM di Dewan Utama KPTM-Kesedar, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah KPTM-Kesedar Gua Musang, Mohd. Yusoff Mat Ali.
 
Nordin turut memaklumkan, KPTM juga menyasarkan seramai 8,200 orang pengambilan pelajar baharu pada tahun ini.

Katanya, jumlah tersebut meningkat berbanding hanya 6,600 bagi tahun sebelumnya.

“Keboleh pasaran pelajar graduan KPTM juga membanggakan apabila pada tahun 2017, sebanyak 68 peratus pelajar dapat melanjutkan pelajaran, mendapat pekerjaan dan menjadi usahawan.

“Sehingga bulan Julai ini seramai 5,185 telah melanjutkan pengajian di KPTM. Jadi kita menyerulah kepada pelajar yang layak untuk menyertai KPTM kerana di sini tempat yang terbaik untuk menimba ilmu dan seterusnya membina kejayaan,” katanya. - K! ONLINE