Dalam kejadian pada pukul 5.40 petang itu, Muhammad Baihaqi Adam Mahadi, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di bahagian perut.

Rakannya, Wan Muhammad Firdaus Wan Mohd. Taib, 16, yang membonceng motosikal tersebut terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua remaja itu difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Taman Teja Murni, Binjai dari bandar Chukai di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Ego S yang dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan telah cuba memotong sebuah lori tanpa muatan di hadapannya yang membrek kerana mahu memasuki persimpangan di sebelah kanan jalan.

“Motosikal tersebut kemudiannya dikatakan bergesel di bahagian kanan lori terbabit sebelum Muhammad Baihaqi tercampak masuk ke bahagian dalam lori berhampiran tayar paling belakang,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE