Dalam kejadian pukul 7.55 pagi, Harith Hafizuddin Zalman, 22, beralamat di Rantau Panjang, Klang, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa merupakan pelajar tahun akhir jurusan Diploma Teknologi Maklumat Pengaturcaraan di PSIS dan sedang menjalani latihan industri di politeknik sama.

Katanya, semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik sedang menuju ke PSIS, Sungai Air Tawar dari Tanjong Karang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa disyaki gagal mengawal motosikalnya dan terbabas ke bahu jalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik.

"Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia ditempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nor Azmi menjelaskan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah HTAJ untuk proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE