Menurut pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Seberang Perai dan penyelia projek Noor Rafidah Md Osman, inovasi tersebut yang dikenali sebagai OKU Systematic Parking (OSP) merupakan projek akhir tahun yang dipelopori lima orang pelajarnya.

Ia dibangunkan bersama sebuah syarikat automasi swasta, Imantech Sdn Bhd dengan menggunakan teknologi Identifikasi Radio-Frekuensi (RFID) di mana kumpulan sasar hanya perlu menyentuh kad akses kepada alat tersebut untuk menggunakan parkir khas itu.

"Misalnya bagi OKU, mereka boleh menyentuh kad pengenalan OKU mereka pada alat tersebut, kemudian penghadang itu akan jatuh dan membolehkan kenderaan yang dipandu OKU memasukki parkir tersebut," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui di pameran inovasi sempena Global Entrepreneurship Community 2017 (GECommunity) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Politeknik Seberang Perai adalah antara universiti dan institusi awam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang menyertai pameran dua hari yang bermula semalam.

Rafidah berkata pelajar beliau telah menjalankan projek perintis selama sebulan di sebuah pasar raya di Seberang Perai pada September lepas dan maklum balas yang didapati adalah amat memberangsangkan.

"Ini kali pertama (pameran GECommunity 2017) kami memperkenalkan alat OSP untuk umum. Setakat ini, maklum balas yang kami terima memang positif.

"Malah ada yang mencadangkan supaya alat ini boleh digunakan untuk lot parkir persendirian dan yang disewa, sama ada di bangunan kediaman ataupun kawasan awam,"

Jelasnya penghadang itu boleh dipasang sama ada ditanam ke permukaan lot parkir ataupun diletakkan di atas ramp lot khas tersebut.

Rafidah berkata beliau juga bercadang untuk mendapat sokongan dan kolaborasi daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengintegrasikan kemudahan tersebut dalam kad pengenalan OKU supaya inovasi itu dapat memanfaatkan OKU sepenuhnya. - Bernama