Menurut Nur Lalua, kejadian yang berlaku pada jarak 50 meter dari tempat beliau dan 15 pelajar MSU lain berada itu memang mengejutkan dan berlaku sekelip mata.

"Saya nampak debu selain melihat orang berlari dan menjerit, tanggapan pertama sebaik kejadian berlaku adalah serangan bom pengganas.

"Masing-masing saling berpandangan dan saya terus memanggil kesemua 15 pelajar yang berada dalam bangunan untuk keluar, selepas beberapa minit baru kami tahu ia merupakan kejadian runtuhan lantai di tingkat 1 Menara 2 BEI," katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.

Delegasi 22 rakyat Malaysia itu disertai 15 pelajar MSU dari jurusan Pengurusan Perniagaan, Kewangan dan Perakaunan bersama tiga pensyarah serta empat keluarga.

Kesemua mereka yang berlepas ke Jakarta pada 14 Januari lalu dan berada di bangunan BEI kerana mewakili Malaysia dalam Pertandingan Cabaran Saham ASEAN CIMB 2.0 yang disertai peserta dari Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja dan Thailand.

Nur Lalua berkata, kesemua mereka telah diselamatkan dalam masa lima minit dan dibawa keluar dari bangunan tersebut ke kawasan berdekatan oleh wakil dari CIMB Niaga Indonesia.

"Kami sangat bersyukur kerana semua peserta dari Malaysia terselamat, pada mulanya saya bercadang untuk membawa rombongan kami mengadakan lawatan di sekitar bangunan BEI tetapi permohonan kami ditolak disebabkan kekangan masa.

"Jika tidak, kemungkinan kami juga akan menjadi mangsa runtuhan dalam kejadian ini," katanya yang memberitahu rata-rata peserta mengalami sedikit trauma. 

Katanya, walaupun kejadian runtuhan itu berlaku pada pukul 11.55 pagi, namun sesi pengumuman pemenang tetap diteruskan di bangunan berdekatan pada 3 petang hati kejadian.

Nur Lalua memberitahu, delegasi Malaysia telah mendapat tempat keempat pada pertandingan itu sekali gus membawa pulang wang tunai AS2,500 (RM9,805).

Dalam kejadian Isnin lalu, lantai mezanin berdepan lobi utama bangunan Bursa Saham Indonesia di Jalan Sudirman, Senayan, Jakarta Pusat semalam runtuh ke ruang lobi bangunan tersebut dan insiden itu telah mengakibatkan kira-kira 80 orang cedera.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim semalam mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian itu. - K! ONLINE